Thursday, February 10, 2011

nak tegur ke tak?

SALAM
SAYA dlm konflik diri...
Macam mana saya nak cakap ngan kwn saya ni
Camna nak tegur kan dia, nak kata yg dia tengah buat salah
Bukan salah kecil tau, SALAH BESAR!(org melaka kata besau!)
YA ALLAH susahnya nak tegur org..
saya ikhlas nak tolong dia..
tp sekarang ni saya pun tak tertolong dia
cana nih..

orang kata "orang yang dapat menegur adalah orang yg juga sedia ditegur"
Saya pun bukan org yg perfect, bukan baik sgt..
Tapi saya tau dia tengah dilema dan bakal melakukan kesalahan..
Patutlah saya tegur dan bimbing dia kan..

YA ALLAH kuatkan hati saya nak tegur dia..

Kalau dh kuat, saya akan kata kan pd dia begini:

"KAWAN, hidup adalah pilihan..berdoalah pada Allah agar kau dapat buat pilihan yg terbaik untuk diri dan keluarga...berdoalah banyak2, semoga Allah memberi petunjuk, semoga kau tak salah memilih jalan hidup..."

Doakan saya jadi berani menegur...

Saturday, February 5, 2011

kempen membaca

SALAM...
ISNIN lalu,Program Nilam peringkat sekolah dilancarkan. Sebagai pembukaan,saya (jadi mc) sampaikan dua rangkap pantun sebaik shj memberi salam. Pantun berbunyi:

Meniti senja biasan mentari,
Merkah setitis menjelang kabut,
Bacalah baca setiap hari,
Tak akan habis ilmu dituntut.

Membaca bukan di kulit sahaja,
Ambillah isi,telitilah kandungan,
Kita sambut seruan negara,
Program Nilam kita lancarkan.

Guru Besar dijemput untuk memberi ucapan. Sebaik sahaja GB naik, saya duduk sambil mengamati ucapan beliau. Dalam ucapan,beliau ada menyebut mengenai purata rakyat Malaysia hanya membaca 2 buah buku dlm setahun.
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan (Al-Alaq:1)


Sangat sedikit? Tapi itulah hakikatnya kan..rakyat Malaysia memang tak suka buku. Tak payah tengok jauh-jauh, tengok jelah di sekolah saya.  Seawal jam 7pagi, Pengawas Pusat Sumber akan mengangkut bakul-bakul buku di dataran perhimpunan.  Objektifnya agar murid dapat mengisi masa senggang sebelum loceng pertama dibunyikan.  Namun berapa ramai yg datang awal dan duduk sambil membaca..hmm sangat-sangat mengecewakan.

Kempen membaca saban tahun dijalankan.  Namun mengapa kadar purata buku yg dibaca hanya 2 buah setiap seorang dalam 365 hari?Apa sebenarnya yang menyebabkan generasi hari ini kurang meminati buku atau bahan bacaan lain? Mahal? Berat? Bosan?Xda gambar? Mungkinkah juga teknologi sekarang yang membunuh minat membaca di kalangan masyarakat?Peperangan di antara keperluan akademik dan kemasyarakatan menyebabkan wujud kecelaruan sehingga masyarakat seluruh dunia terutama generasi muda enggan menjadikan amalan membaca cara hidup.


Buku...teman paling setia
Kemahiran membaca merupakan salah satu kemahiran yang penting di peringkat sekolah rendah dan menengah. Ia menjadi semakin penting apabila seseorang itu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu kolej, institut atau universiti.
Sebagai guru, saya juga menghadapi masalah  murid yg kurang minat membaca, apatah lagi sy berdepan dengan murid yg memang tidak tahu membaca. Ada yang hanya tengok gambar saja dan terus sebut.  Ada juga mengeja beria-ia, tp yang keluar lain bunyinya.Aduh, sangat-sangat menduga. Tapi bila saya buka laptop atau komputer, semua jadi pandai membaca. Namun secepat flash dlm powerpoint, secepat itulah perkataan hilang dlm fikiran mereka.

Ya Allah terangkan hati anak-anak ini..
Bagaimana mahu meningkatkan tabiat membaca di kalangan murid-murid ini?  Soalan ini mungkin akan terus jadi soalan. Tapi bagi saya semuanya bergantung kepada persekitaran sekeliling. Membaca adalah tabiat yang boleh dipupuk. Minat membaca akan datang bila adanya pengaruh dari orang lain. Pengaruh mungkin dari orang yg rapat atau yg duduk di sekeliling atau dari orang yang kita percaya. Tabiat membaca perlu dihayati bersama-sama oleh kumpulan masyarakat. Tabiat tersebut tidak akan bertahan dan berkembang jika ia hanya dihayati oleh beberapa individu. Kumpulan masyarakat yg gemar membaca sangat penting kerana ia dapat memotivasikan murid untuk terus menghayati tabiat membaca.

Akhir ucapan, guru besar mengingatkan murid-murid, 'bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya'. Saya sangat setuju dengan statement ni. Moga murid-murid faham, kalau bukan hari ini, esok-esok mereka akan faham, Insya Allah..
Selepas selesai mengacara, saya turun dari astaka dan Kak T menegur,
"Minah pantun... tak habis-habis dengan pantun ko ni, jgn lupa petang ni ada netball eh".
Ceh..minah pantun dia panggil saya...Dalam senyum saya angguk.

Sunday, January 23, 2011

teruskan asa...

   "Membiarkan orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang
beriman. Jangan biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang baik untuk akhirat anda,    
              membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan motivasi..."

Kata-kata ini saya dapat dari blog "Mutiara Hati'.  Bila dibaca memang terkesan di hati saya.  Hidup kita yang sememangnya tak putus dengan masalah, kritikan, sindiran, dengki hati manusia atau bermacam-macam yang menduga sangat-sangat menjatuhkan semangat.Kadang-kala baru sahaja menggali semangat baru, tanpa diduga ada lagi perkara-perkara yang datang menguji.


hidup penuh dengan warna-warni

Hakikatnya, hidup memang penuh dengan masalah. Lebih-lebih lagi pekerjaan sehari-hari yang melibatkan hubungan sesama manusia. Terlalu banyak karenah dan terlalu banyak ragam.  Memang betullah seperti yang dikata,mustahil nak memuaskan hati semua pihak.  Sebagai manusia, mana mampu kita mengawal hati dan fikiran orang lain agar sama dengan fikiran kita.

Sebagai manusia, saya terima semua ini dan perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.

Hanya dengan cara ini, saya atau  kita semua akan kembali kepada Allah dan berdoa.Sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah kita  reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini.
“Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).
Untuk itu, semoga saya dan kita semua tidak mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya. 

Teruskan asa dan harapan.Jangan.pernah putus dari rahmat Tuhan...
"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. (Surah Gafir: Ayat 60)"

Monday, January 17, 2011

‘F’

KELAS pemulihan telahpun bermula sepenuhnya pada minggu lepas.  Setelah menguji murid  dengan ujian diagnostik, dapatlah saya simpulkan murid saya bukan tidak boleh membaca, tapi penyakit ‘M’ sentiasa menguasai mereka. 
masih keliru dengan nombor
Saya melakukan beberapa perubahan, terutamanya kaedah mengajar. Antaranya,pembelajaran bebas setelah selesai menyiapkan kerja.  Murid, saya benarkan menyentuh laptop dan bermain dengan permainan interaktif.  Tetapi ada syarat, yang siap dulu dan betul semua sahaja berpeluang.  Yang lain nganga jelah,hu3. Siapa suh tak siap kerja kan...

Terdapat murid yang dilihat menunjukkan peningkatan. Alhamdulillah, walaupun cuti lama namun ada perubahan. Itu yang saya doakan setiap hari.  Mungkin sudah tiba masanya otak menjadi matang.  Biasanya begitu, di Tahun 3 baru boleh lihat perkembangan mereka.  Alhamdulillah,Allah terangkan hati anak-anak ini...
tenteng ni saya buat sebab dorang suka sgt melompat-lompat
ha,tak aci kaki dh turun sebelah tu..

Di sebalik cerita yang berkembang dari segi pelajaran dan badan(seorang anak murid saya obesiti,hu3),
ada juga cerita yang menguncup.
Seorang murid saya telah membuat saya menjadi hulk hogan minggu ini. Nasib baik kulit tak bertukar hijau.  Karenahnya sangat mencabar saya.  Semakin hari sabar saya semakin tipis. 

HARI ISNIN
“F, kenapa kamu tak siap kerja cikgu ni, susah sangat ke?”
 F tunduk, “Saya lupa...”
“Tapi ini kerja minggu lepas.  Cikgu nak kamu siapkan sekarang,”
Suara saya agak mendatar sebab hari Isnin kan, malas nak layan mood marah.

HARI SELASA
“Siapa tak siap kerja rumah semalam, mengaku je, cikgu tak nak buang masa marah-marah.”
Dan seperti saya jangka, orang yang sama juga tak siap. 

HARI RABU
“Semalam cikgu bagi kerja rumah kan. Sekarang semua buka buku,cikgu nak tengok.”
Ada seorang saja yang tak buka.  Dalam 8 orang murid dia sahaja yang tak bergerak. Saya ulang arahan. 
“F, kamu tak siap lagi ke?”Saya cuba tahan marah. Murid ini perlu diajar.
“Tolong ambil pembaris tu, siapa tak siap kerja, mesti kena hukum.”
Dia tunduk dan hulur tangan.
Sebelum F keluar, saya tahan. 
“Cikgu rotan sebab apa?”
“Saya tak siap kerja,” Dia jawab perlahan
“Jadi awak mengaku memang salah awakkan, itu sebab cikgu rotan. Betul tak salah awak?” ( Saya rasionalkan semula apa yg saya buat td)
“Betul,” Saya capai dua bukunya  (BM dan MATH).
“Esok cikgu nak dua-dua kerja kena siap. Petang ni siapkan dulu baru keluar main,”
 Dia angguk.
“Janji dengan cikgu,”
“Janji,”  Dia jawab sungguh-sungguh.

HARI KHAMIS
“Ok,siapa yang ada kerja rumah semalam, bagi buku kat cikgu,”
Yang lain sibuk nak tunjukkan hasil kerja mereka.  Kebetulan ada aktiviti mewarna semalam. Seronok sangat sampai tak sempat siap dan saya suruh bawa balik. Tapi...
“ F,mana buku kamu?”
Dia hulur. Lambat. Saya dapat kesan sesuatu. Tak siap!
“Tak siap lagi!( Suara dah ke dalam sebab tahan marah). Meh sini buku Math pula.Pun tak siap!Apa nak jadi ni F !!! Kalau orang lain boleh siap kenapa kamu tak boleh siap! Semalam janji apa dengan cikgu?”
Suara saya bagai halilintar. 

Senyap.

“Kau berdiri kat luar (kata ganti nama dah bertukar). Cikgu tak nak tengok muka kau hari ini. Siapkan sekarang!!”

Kebetulan hari ini mereka ada 5 waktu dengan saya (bercampur waktu BM dan MATH).  Jadi ada 2 jam setengah dia masa dia ada utk siapkan kerja.

Bila loceng rehat berbunyi, saya lihat dia menangis mengongoi di luar.  Bukan sebab menyesal,tapi sebab tak dapat makan katanya. Bertambah bengkak hati saya. Saya membebel panjang. Tak tahan, saya tinggalkan dia. Saya pesan pada kawannya suruh ajak F ke kantin.

Sebenarnya, bila keadaan seperti ini berlaku, saya jadi benci dengan diri. Sebabnya saya tak boleh tahan marah.  Kasihan anak-anak yang lain. Disebabkan mood yang marah, P&P hari ini tidak berapa menarik. Hancur segala plan dlm lesson note tu.

Dalam keadaan itu, saya ke bilik guru. Mencari orang yang dapat mengimbangkan emosi, saya terus mengadap Ustazah R.Dalam lembut, dia keluarkan kata-kata ini..
“Sharfizah... orang muda memang cepat marah, cepat terasa.  Akak pun macam tu dulu, Pantang salah sikit, budak mesti kena. Tapi yang penting niat kita, niat untuk betulkan kesalahan dia supaya dia tak ulang salah yang sama.  Banyak – banyak sabar. Bila marah, setan merasuk yang macam-macam.  Jangan letak marah depan akal kau.  Nanti yang datang emosi, bukan rasional.  Kita nak didik dia, buatlah dengan cara berhemah”

Berhemah?  Saya fikir 1000x. Betul. Tak sepatutnya saya halau F tadi. Dia juga ada maruah.

Sepanjang hari saya terbawa-bawa kata-kata Ustazah R tadi. Sengaja saya ke POPULAR dengan niat cari buku yang dpt relax kan saya dan menghiburkan hati.Dalam mencari, mata saya terhenti pada tajuk buku yang agak kena dengan situasi saya. Tajuknya
“Hebatnya Cara Rasullullah Mendidik” tulisan Razali Saaran. Mungkin buku ini ada sesuatu. Saya terus capai dan bayar. Balik saya belek dengan pegun.

Antara intipatinya..

“Benar, guru perlu banyak bersabar ketika mengajar kerana ia akan meningkatkan martabat guru di mata murid.  Tiada yang lebih bermakna bagi diri seorang guru yang sentiasa sabar dengan karenah muridnya melainkan akan diangkat martabat dirinya di sisi Allah dan Rasul-NYA,”

Ten... ten... ten...  Kata kuncinya SABAR.
Saya insaf kini.  Saya rasa saya tahu apa nak buat esok untuk anak-anak murid saya.

HARI JUMAAT
“Siapa tak datang hari ini?”
“F cikgu,”
Diam seketika.  Kelas hari ini saya teruskan seperti yang dirancang semalam.

emi,9 tahun, 75kg...ada berani?


Saturday, January 8, 2011

berubahlah wahai diri..

salam...
SANGAT SIBUK. Dua perkataan ni shj yg boleh saya rumuskan utk kehidupan saya minggu ini. Banyak kerja hingga seakan-akan tidak cukup 24 jam sehari..


2 hari sebelum sekolah dibuka.Bertugas agihkan buku teks.

 
Sibuk betuk mereka ni. 

Umum mengetahui minggu ini bermulalah sesi persekolahan 2011.  Bukan murid-murid dan parents shj yg sibuk, guru-guru juga sibuk membuat persiapan sebelum sekolah dibuka.  Termasuklah saya, ditambah dengan pelbagai jawatan tahun ni(rasa mcm dhsenget je bahu saya ni), jadi saya kuatkan semangat walaupun semangat tak datang2 sehingga waktu kecederaan(pagi Isnin). KERJA!KERJA!KERJA!.

Permulaan tahun ini dibuka dengan tugasan saya sebagai guru bertugas.Waduh,biar benar nih..Momentum terus turun. 'Hantar murid sakit, sapu ubat luka mana yg degil2 berlari sampai jatuh berdarah, incharge perhimpunan setiap pagi,atau tulis report bertugas'. Tugas-tugas ni semua saya tak kisah langsung nakbuat.Tapi ada satu yg paling sy tak gemar. Apa dia? Ya betul,jaga pagar!!Menjadi patung &berdiri tegak di tepi pagar sekolah mmg sangat menyampah. Sebab apa?

1)  Saya mengalami allergy, kenderaan masuk dan keluar membawa sekali asap sampai boleh jd bedak simplysiti kt muka.  Hasilnya saya selesema teruk.
2) Guard sekolah (makcik) yg tak berapa pandai lintaskan budak sangat menakutkan.  Mingguni shj 2kali dia
hampir dillanggar kereta disebabkan berdiri di tengah2 jalan. Sy nak cadangkan pd  GB suruh dia masuk
kelas Tahun 1 time subjek PKJR (Pend. Keselamatan Jalan Raya).Masalahnya dia tak nak pakai uniform putih masa nak lintaskan murid.  Bila ditanya kenapa tak pakai. "Malu,"jawabnya.  Saya balas balik "Bukan semua dapat chance pakai uniform tu.Akak kira bertuah tau." Dia sengih panjang. Oklah kan, ala-ala doktor
tu, hu3.
Apa pun saya cuba lakukan yg terbaik mingguni.  Dengan murid Pra Sek yang berguling-guling menangis depan kelas, dan yg paling dashyat, makhluk Allah yg paling digeruni oleh cikgu-cikgu telah dtg memantau seawal hari pertama sekolah. Sengaja saya menegur NAZIR SEKOLAH yg datang tu,kira berbahasalah dan dengan harapan dia tak observe saya, hu3.Alhamdulillah,dia tak masuk kelas saya.

Tahun baru pasti ceritanya berbeza...
Murid pemulihan saya bertambah dan akhirnya berkurang setelah 2 orang berpindah sekolah.  Namun yg baru ni sedikit masalah krn dia anak kepada seorang staff sekolah .  Anaknya memang lemah, namun ibunya terlalu berharap agar saya dapat pulihkan anaknya.Saya respon "Kak, saya hanya cuba tolong  mana yg mampu. Saya bukan Tuhan.Yang penting akak sendiri kena tolong anak akak &doakan dia". Yg ini mmg jd pengajaran berguna. Esok-esok kalau dah kawin & punya anak sendiri, eloklah kita pantau dan didik mereka betul-betul. Kerja mendidik bukan bermula di sekolah tp dari rumah...

Ada satu lg pengajaran yg saya dapat minggu ni. Kebiasaan saya akan parkir kereta yang kebetulan berhadapan dengan rumah seorang anak murid saya.  Murid ni saya akan tumpangkan menaiki kereta kalau hari hujan. Tapi sikap maknya yang tak pernah membalas bila saya tegur kadang-kadang menimbulkan rasa tak puas hati dlm diri. Saya selalu mengomel dalam hati bila berdepan dengan mak murid ini yg seakan-akan buat -buat tak nampak bila saya hampiri kereta.  Dengan tuala yang diletakkan di bahagian kiri bahu, dia akan cepat-cepat memusing badan dan masuk ke dalam rumah.
Namun hari itu Allah nak tunjukkan sesuatu.  Kerana bertugas,saya keluar awal.Saya turun ke parkir kereta jam 6.45pg. Saya lihat anak murid itu dh bersedia dengan basikalnya.  Saya senyum dan seperti dijangka maknya akan pusing badan.  Ditakdirkan tuala yg biasa ada di bahunya itu tiba-tiba jatuh. Dan...
Saya sangat terkejut.Dia cepat-cepat tarik tuala itu dan masuk.  Masya Allah .baru saya tahu kenapa, baru saya sedar.  Jahatnya saya ni selalu kutuk-kutuk mak budak ni dalam hati. Di separuh jalan saya nampak murid saya sedang berbasikal bersama kawan-kawannya sambil ketawa riang. Sepanjang jalan saya berfikir. Menyesal..Hari itu ketika jaga pagar,asap kereta semacam bayu lembut yang lalu menyapu pipi.. 
Saya diajar untuk faham dengan tindakan mak murid itu.  Saya diajar tanpa sepatah kata darinya.  Saya diajar dengan hanya melihat tangan kudungnya...
Nampaknya, saya belum lagi berubah, berubah untuk lebih memahami orang lain...Terima kasih Allah kerana ajarkan saya..


Tuesday, December 28, 2010

Pelangi, kami ingin ke sana...

Kali ini saya kongsikan satu cerpen. Cerita yg punya cerita sendiri. Cerita tentang anak tsunami. Cerita yg dekat dengan mimpi saya dulu.. Cerita yg mengingatkan saya tentang anak-anak pesantren yg kenal erti hidup dan redha pada takdir Tuhan...Semoga bermanfaat..

 

~   sempena ultah tragedi tsunami 26 Disember 2004-2010    ~


Oleh ARIFF MOHAMAD

SELURUH kesunyian ini rupa-rupanya untuk kami. Entah bila dapat ditebat. Kusut pada mata zahir entah bila terungkai. Pedih dan perit bagai rantaian yang payah sekali untuk dilepas. Hinggakan air mata kami telah kering, sekering darah telah meresap ke dalam bumi ini.
Selepas desaku berubah menjadi padang, aku rasakan kesepian dalam hati teramat. Manusia-manusia yang dulunya aku anggap keluarga kandung, tidak pasti di mana jenazahnya apatah lagi batu nisannya. Mesra dan usikan jiran-jiran yang sering bertanya mahu ke mana kini menjadi ratapan yang melatari siang dan malam.
Ketawa teman-teman sekolahan kini hanya kenang-kenangan yang tidak akan dapat diputar dalam kenyataan. Aku hanya mampu bermain dengan mimpi. Mimpi kosong dalam hakikat cuma berisi dalam harapan yang entah, nanti tinggal harapan semata atau akan dapat dikecap sinar nyatanya.
Aku amat menyenangi angin. Di tepi laut aku pernah menyatakan pada ombak, bahawa aku harus berani menghadapi masa depanku. Aku perlu menjadi anak yang kuat. Aku nyatakan kepada ombak bahawa aku bercita-cita ingin berjasa kepada desa ini. Aku ingin menjadi seorang guru kecil yang dapat menumpahkan pengetahuan dan pengalamanku yang sedikit ini kepada anak-anak desaku. Aku ingin membesarkan pondok ilmu di desaku dengan gemburan semangatku.
Aku berlari-lari di sepanjang pantai. Sesekali kujejaki dasar terdekat mengharung laut hingga ke paras dadaku. Ketika ombak petang memukul, aku seolah-olah bersedia menghadapinya. Ketika berdiri di pantai, aku gembira sekali melihat ombak yang datang lalu menyentuh kakiku.
Belum sempat aku tunaikan kata-kataku dengan sepuas hati, ombak itu juga yang memusnahkan. Oh, sungguh. Sungguh, ini ketakjuban Yang Maha Kuasa. Aku merasakan aku tewas, lemah. Qadak dan qadar Allah telah pun dinyatakan dalam rukun iman.
Aku antara yang bernasib baik dapat terus melihat matahari dan bulan. Syukur, aku masih hidup dengan sihat. Aku masih boleh bernafas dalam kehancuran ini. Ya, aku berasa amat lemah, dan aku sungguh tidak dapat untuk bergembira kerana aku masih hidup. Sedangkan semua yang aku cintai telah tiada. Hanyut dibawa ombak, hilang diajari bencana, pergi dari dunia ini dengan sekelip mata. Pernah aku tertanya sendiri, mengapa aku tidak bersama-sama mereka terkorban dalam tragedi ini?
Sesungguhnya percayalah, aku tidak mampu tersenyum sehingga kini.
Kayu yang berserpihan kami pilih yang kuat untuk dijadikan tiang. Tanpa dinding kami bentangkan tikar anyaman sebagai alas kayu-kayu yang tidak sempurna saiz. Kami dapatkan kain kanvas nipis sebagai bumbung. Terbinalah khemah yang kami namakan Pondok Ilmu.
Berhampiran tapak sekolah kami yang rosak, kami bangunkan kembali pusat ilmu ini. Terlalu daif. Memang, terlalu. Namun inilah yang dapat kami bangunkan dari runtuhan. Fizikalnya memang seperti kami, lemah dan tidak sempurna, namun yang lebih penting adalah kekuatan kami untuk membinanya, meneruskan cita-cita kami.
``Sementara sahaja. Sementara sekolah kita dipulihkan.'' Kataku kepada anak-anak yang bertanya.
``Pondok ilmu mesti dibina kembali. Malah semarakkanlah. Ingat, selain agama, apa yang perlu kita ada? Hanya ilmu. Maka, dengan pondok ini kita kukuhkan diri kita dengan ilmu. Setakat yang terdaya. Sekadar termampu dengan keupayaan kita.''
Itulah kata-kata Bapak Sano. Penuh keinsafan. Dengan semangat. Beriring harap.
" Defi.''
Bapak Sano merenungku legat. Kulihat gurisan dahinya membuktikan derita batinnya. Kulihat matanya, berisi doa. Kurenung bibirnya, pucat, saksi kekurangan vitamin.
   "Bapak harap kamu ajari anak-anak di sini. Dengan ilmu duniamu. Dan ilmu akhiratmu. Seiringkanlah.''
Begitu kata Bapak Sano. Aku mengangguk-angguk. Memang begitulah niatku. Malah sebelum bencana ini, aku memang bercita-cita sebegitu.
 " Defi.''
Kehilangan
Panggilnya lagi. Kulihat matanya berair. Serentak itu diriku terserap sama kepiluan. Hiba bernada pilu dalam diri. Sebak dadaku, dan ah, aku juga menangis sepertimu, bapak. Dan lihatlah, air mataku lebih banyak.
``Defi. Kita cari kembali diri kita dari kehancuran ini. Bapak tidak dapat turut serta bersama-sama kamu. Bapak semakin tidak berdaya. Bapak mahu pulang. Bapak mahu.''
Ya, memang wajar aku menangis. Aku kuatkan hati untuk mengawal air mataku. Bukankah aku telah terlalu banyak menangis. Seharusnya hari ini, bermula hari ini, aku perlu menitiskan air mata pada saat-saat yang perlu sahaja. Aku mahu tunjukkan kekuatan diriku kepada anak-anak kecil yang mengangakan ilmu di pondok ini.
Bapak Sano merapatiku. Tubuhnya kelihatan lemah. Berpaut pada kerusi, terbongkok melangkah.
``Lihat anak-anak itu. Mereka tidak mengerti apa yang terjadi. Jika ada yang memahami pun, pengertian mereka tidak sebanyak pengertian kita. Mereka perlu menempuh hari depan dengan keyakinan. Mereka perlu bekal untuk menghadapi siang dan malam. Mereka perlu diajari mengapa dan bagaimana.''
Aku mengitari pandang anak-anak di bawah kanvas pondok. Kulihat mereka sesekali riang, sesekali murung, sesekali ketawa, dan menangis. Oh, air mata, janganlah mengalir lagi.
``Manusia seperti kamulah, Defi. Harapan yang tua untuk penerus.''
Aku teringatkan guruku, Suhani. Dia guruku yang terbaik. Dialah pembakar semangatku selama ini. Dialah yang menarik tanganku, mengajarku tulis baca. Tapi sayang, cuma senyuman dan nasihatnya kuterbayang. Dia telah pulang. Pulang dibawa ombak. Hilang bersama cita-cita dan kekuatannya.
Seorang anak kecil bernama Marlina menghampiriku. Tidak berkasut. Aku bertanya mengapa.
``Sudah hilang.''
Jawapannya mudah tapi berat. Selebihnya aku mendalami kehilangannya. Dia bukan sahaja kehilangan selipar malahan dia hanya ada dirinya sahaja. Ibu dan ayahnya telah dikuburkan. Saudara-saudaranya juga. Rumahnya ranap. Buku-buku dan baju-bajunya turut ke bumi. Oh, kuatkan diriku, ya Allah.
Aku memulakan hari-hari keyakinanku untuk mengajar anak-anak ini ilmu tulis baca hinggalah yang remaja sedikit kuajari ilmu alam, Matematik, Sejarah dan bahasa. Aku bersama-sama tiga orang muda yang lain berada di situ dari pagi hingga ke petang. Dan sesungguhnya di situlah kami mengisi malam dengan kesabaran dan keazaman. Kulihat langit berbintang cantik, terasa cukup kontras dengan bumi tempatku yang berpijak ini. Langit indah terbentang, kekal tidak pernah berubah. Sedangkan desaku, hancur musnah. Oh, Tuhan.
Malam dilatari bunyi bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Kesayuan mengusik naluri. Selesai maghrib aku tatapi, tekuni dan dalami satu demi satu surah. Kulakukan setiap malam dengan suara serakku dan sesekali air mata menitis. Hatiku cepat-cepat menghantar ingatan. Perlu kuat. Perlu kuat.
Suatu malam, aku didatangi Marlina.
``Saya lapar,'' katanya.
Kupeluk dia erat-erat. Dapat kurasakan jantungnya berdegup hampir dengan jantungku. Entah mengapa aku merasakan dia berada dalam diriku. Aku akan berkongsi kepedihan bersama-sama dengannya. Aku mahu menghadapi hari ini, esok dan mendatang dengannya. Aku berandaian, jika boleh jiwa kami disatukan, aku sanggup berkongsi jantung dengannya.
Aku bawa dia ke dapur. Biskut kering sekeping dua masih ada. Roti separuh plastik masih terbuka. Kubancuhi susu. Kusuapi dia walaupun kulihat dia agak kekok dan malu-malu. Aku dapat merasakan kemanjaan yang sepatutnya diserahkan kepada ayah dan ibunya telah tumpah kepadaku.
Sepanjang malam, Marlina tidur memelukku. Terjaga pertengahan malam, dipanggilnya aku.
``Kak Defi.''
Aku memeluknya kembali.
Terjaga menjelang subuh dipeluknya aku semakin erat.             
``Kak, saya rindukan mama, ayah.''
Kupujuki dia. ``Tidur, Mar, esok ke sekolah.''
``Kenapa tidak sekolah sekarang?''
``Solat subuh dulu, ya.''
Kepala Marlina diletakkan di atas lenganku. Oh, Tuhan. Air matanya sedingin daun-daun basah dinihari.
Marlina, kau akan bersamaku. Begitu kata hatiku.
Pondok Ilmu diperindah sedikit dengan kerjasama orang-orang sekeliling. Mereka memberi sokongan tenaga dan perhatian selain doa berterusan agar anak-anak di sini dapat menikmati dunia dengan lebih yakin, berisi ilmu.
Suatu petang, aku membawa Marlina bersiar-siar di sekitar desa. Kehidupan mesti diteruskan. Itulah yang kulihat dan rasakan ada pada orang-orang desaku. Perniagaan kembali berjalan walaupun amat perlahan. Nelayan telah ke laut sehari dua ini walaupun pulangnya kecewa. Petani mula mencangkul tanah walaupun kudrat terasa lemah. Urusan diteruskan walaupun banyak halangan. Bantuan makanan, pakaian dan perubatan daripada sukarelawan masih ada walaupun sudah banyak yang pulang.
Tekadku untuk membangunkan desa dari segi keilmuan pada anak-anak di situ terasa semakin kuat. Walaupun kutahu perjuangan ini amat payah, namun itulah baktiku kepada bumiku, kepada agamaku. Siapa lagi yang diharapkan di sini, jika bukan anak peribumi seperti aku, Dinda dan Faruqi. Ya, Allah, berilah kami kekuatan.
Hadiah
Aku singgah di rumah Pak Sano. Dia kelihatan terlalu uzur. Pak Sano menyandar di kerusinya. Sehelai sejadah tidak jauh dari tempat duduknya. Kusalami dia diikuti Marlina. Diciumi Marlina lalu digenggam erat tangan anak kecil itu.
Aku berasa amat sebak ketika Pak Sano menghadiahi Marlina sepasang kasut berwarna merah. Bahagian depan kasut itu dihiasi bunga-bunga berwarna kuning dan biru. Kata Pak Sano, ``Sepatu ini saya jumpai di tepi masjid. Aku tidak temui pemiliknya walaupun telah lama kugantungkan di hadapan rumahku. Ambillah, Marlina.''
Pak Sano menyambung, ``Anggaplah ini hadiah saya untuk anak kecil tanda harapan dan kasih sayang.''
Pak Sano kemudian bertanyakan tentang Pondok Ilmu. Wajahnya penuh syukur. Aku ceritakan lagi dan lagi. Hingga dia seperti keletihan. Aku meminta izin untuk pulang. Pak Sano mengangguk namun matanya seperti berat melepaskan.
Aku mengajak Marlina ke tepi laut. Angin kasar dan lembut berganti-ganti. Fikirku, jika ombak datang lagi, oh Tuhan, ambillah nyawaku. Namun selamatkan Marlina. Jika aku pergi Marlina kurasakan akan menjadi aku suatu hari nanti.
``Kak Defi, ombak datang!''
Suasana sunyi. Benar-benar sunyi.
Kulihat pelangi, cantiknya. Kukatakan pada pelangi, aku ingin ke sana. Aku rindukan sinar. Aku rindukan keindahan. Dan kebahagiaan. Itu doaku. Doa kami.
Aku memejamkan mataku. Marlina menghampiriku. Menunjukkan kasut merahnya. Aku dan Marlina berlari-lari, kemudian menuju pelangi. Dan kami rasakan seperti menari-nari di atas pelangi.

-untuk anak-anak pesantren yg aku kenali dulu, smg Allah memberkati kalian, semoga kalian tetap kalian yg dulu,yg bandel,yg riang dan menyenangkan walau dlm suram...

Friday, December 24, 2010

bersyukurlah...

Hari ini saya berpuasa bersama emak.  Tahun ni saya agak jarang dapat berpuasa sunat.  Bukan tidak mahu tetapi dgn kerja yg bertimbun-timbun dan suara yg menjadi modal dalam pekerjaan,(saya bukan penyanyi, jgn salah faham,hu3) adalah sukar tuk saya berpuasa. Tekak menjadi cepat kering sejak mengajar murid Tahun 1. Mengajar mereka pitching suara selalu kena tinggi.  Kalau tak, alamat mereka boleh berkhayal sampai tembus dinding kelas. Namun menjerit-jerit di dalam kelas bukanlah cara saya, cuma suara perlu terang dan kuat agar dapat menarik perhatian. Maka tidaklah dapat saya selalu mengerjakan puasa Isnin dan Khamis.Insyaallah azam tahun 1432H ni saya akan cuba..
Minggu ini saya disuruh membasuh kereta oleh mentor iaitu abah, hu3.Malas tapi siapa lagi yg nak disuruh..

Saya kebelakangan ini banyak  menghadapi masalah dan dugaan hidup.Memanglah, hidup manusia mana yg tiada dilanda masalah kan..Perkara sebegini buat saya terfikir adakah saya kurang bersyukur atas nikmat kurniaan Allah?  Mungkin juga saya lalai dalam ibadah. Mungkin inilah caranya Allah mahu mengajar saya, mengingatkan saya bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Besar, Maha Kaya, Maha Mengetahui setiap sesuatu...Saya jadi insaf..

"Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur" (Al-Araf:10).

Saya sedar saya banyak mengeluh dan kurang bersyukur.  Saya tidak mahu menjadi golongan seperti yg disebut dalam ayat Allah di atas.  Semoga saya jd orang yg lebih bersyukur sekarang dan akan datang, insyaAllah.
Siap akhirnya..Amacam boleh buka kedai tak,hu3.Punyalah berkilat tapi abah merangkap mentor kata tak bersih kat area kusyen coz saya lupa vacuum.  Ala bolehla kan kat dalam mana orang nampak..

Minggu ini banyak juga hal yg perlu diuruskan.  Yang pertama saya ke hospital ditemani emak. Ini merupakan temujanji yg pertama . Sakit apa? Sebenarnya sakit bukanlah serius namun tidak berkurangan ataupun hilang.  Dah banyak klinik saya rujuk, akhirnya dr di klinik Senawang mengesyorkan saya ke Hospital Besar.  Saya pergi dengan kereta tapi kena pula berjalan kaki untuk ke naik ke hospital.  Mujur ada bus chatter yg menunggu.  Rupanya bas memang sedia untuk pelawat hospital kerana parkir kereta orang awam berada di bahagian bawah.  Kalau gunung tu,kira di kaki gununglah,hu3.  Alhamdulillah saya pun naik bersama mak dengan rasa senang hati.  Saya terus beratur dan ambil nombor lalu ke tingkat 2.  Namun lain pula yg saya jangkakan.  Saya fikir mungkin seorang dua sahaja yang bertemu janji hari itu, rupanya ramai...Dari nombor 1,akhirnya nombor yg dipanggil sudah random. Hati mula panas.  Yela kalau baik begini, lebih baik datang lambat. Akhirnya setelah 2 jam menunggu, barulah nombor saya dipanggil.  Kesian mak kena tunggu lama. Biasalah hospital kerajaan..sabar jelah. Lagipun saya juga salah seorang kakitangan kerajaan,terima sahajalah keadaan ini.

Dalam pada itu, saya dapat perkhabaran dari house-mate,rumah kami bocor pula.  Dia mahu berpindah ke rumah lain.  Hmm saya ikutkan je. Walaupun dalam hati saya malas nak angkat barang lagi, tapi apa boleh saya buat, kawan dahpun jumpa rumah sewa yg baru. Tak kisahlah...

Minggu ini juga saya menguruskan hal pinjaman pelajaran saya dulu.  Rimas dengan hutang, saya mahu mengeluarkan KWSP untuk melangsaikan hutang itu.  Walaupun tak sepenuhnya saya harap ia dapatlah mengurangkan jumlah pinjaman tersebut. Naik komuter, saya jadi rindu dengan kehidupan yg dulu, zaman saya terkejar-terkejar tren dari stesen Putra Gombak ke stesen yg terakhir iaitu Klana Jaya.  Juga terkejar-kejar bas untuk ke ofis. Zaman itu pentingkan diri. Himpit-menghimpit, langgar atau menolak orang sahaja kerja saya(rasa bukan saya seorang kot, hu3) Janji saya dapat naik bas.Sampai di KL Sentral, hati jadi sayu.  Inilah tempat saya singgah untuk solat Asar dan Maghrib tiap-tiap hari.Perjalanan dari KJ ke Gombak memakan masa hampir 45 minit. Bayangkan waktu tamat kerja jam 6, saya perlu berlari turun ke bawah utk dapatkan bas. Kadang2 terlepas juga.  Saya tawakal untuk solat Asar.  Kadang2 hampir jam tujuh sampai di stesen KJ, kena berebut pula dengan muslimin yg jg mahu bersolat.  Ruang solat hanya satu.  Setiap hari, hati berdoa semoga Allah mudahkan solat Asar dan Maghrib saya. Saya tidak dibenarkan solat dalam waktu kerja kecuali solat zuhur.Selalu juga saya pulang lewat dan pernah mencecah jam 11mlm. Kawan-kawan serumah sedia menunggu dalam risau.Kerja dengan orang cina waktu itu memang mencabar.  Dalam fikiran mereka kerja duit, duit kerja, mana ada solat. Tapi saya tabahkan hati. Saya yakin ada rezeki lain yg menanti. Akhirnya Allah mendengar doa saya dan berakhir juga zaman itu, alhamdulillah..

This coach is only for ladies.Mana-mana lelaki yg naik coach ni sure kena keluar. Perkhidmatan yg bagus!

KL Sentral-Tempat ini juga yg paling setia kerana di sini saya dan kawan-kawan berkumpul.  Tempat ini juga saya dan rakan akan bertemu untuk plan kami. Tapi plan kami tu sangatlah rahsia, hu3 sampailah sekarang. Saya amat bersyukur kerana tidak lagi menempuh waktu seperti masa yang dulu. Betullah orang kata, yang pahit akan manis juga akhirnya.  Zaman itu saya rasa payah,tapi sekarang ia menjadi pengalaman manis bergula.

Minggu depan, ada mesyuarat di sekolah yg pertama untuk sesi persekolahan 2011.  Pada hari itu juga kami akan dapat tugasan untuk 2011. Apalah jawatan yg saya dapat nanti.Insyaallah, saya terima apa sahaja tugasan walaupun saya akui ada tugasan yg tak 100% saya buat tahun lepas memandangkan banyak jawatan,.Macam gila kuasa pula bunyinya,hu3.  Maaf jika entry ini hanya mengimbau kenangan lama...Namun saya sekadar berkongsi, semoga bermanfaat..