Sunday, January 23, 2011

teruskan asa...

   "Membiarkan orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang
beriman. Jangan biarkan kata-kata negatif orang terhadap sesuatu yang baik untuk akhirat anda,    
              membantutkan semangat. Jadikan ia pendorong dan motivasi..."

Kata-kata ini saya dapat dari blog "Mutiara Hati'.  Bila dibaca memang terkesan di hati saya.  Hidup kita yang sememangnya tak putus dengan masalah, kritikan, sindiran, dengki hati manusia atau bermacam-macam yang menduga sangat-sangat menjatuhkan semangat.Kadang-kala baru sahaja menggali semangat baru, tanpa diduga ada lagi perkara-perkara yang datang menguji.


hidup penuh dengan warna-warni

Hakikatnya, hidup memang penuh dengan masalah. Lebih-lebih lagi pekerjaan sehari-hari yang melibatkan hubungan sesama manusia. Terlalu banyak karenah dan terlalu banyak ragam.  Memang betullah seperti yang dikata,mustahil nak memuaskan hati semua pihak.  Sebagai manusia, mana mampu kita mengawal hati dan fikiran orang lain agar sama dengan fikiran kita.

Sebagai manusia, saya terima semua ini dan perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.

Hanya dengan cara ini, saya atau  kita semua akan kembali kepada Allah dan berdoa.Sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah kita  reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini.
“Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).
Untuk itu, semoga saya dan kita semua tidak mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya. 

Teruskan asa dan harapan.Jangan.pernah putus dari rahmat Tuhan...
"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. (Surah Gafir: Ayat 60)"

Monday, January 17, 2011

‘F’

KELAS pemulihan telahpun bermula sepenuhnya pada minggu lepas.  Setelah menguji murid  dengan ujian diagnostik, dapatlah saya simpulkan murid saya bukan tidak boleh membaca, tapi penyakit ‘M’ sentiasa menguasai mereka. 
masih keliru dengan nombor
Saya melakukan beberapa perubahan, terutamanya kaedah mengajar. Antaranya,pembelajaran bebas setelah selesai menyiapkan kerja.  Murid, saya benarkan menyentuh laptop dan bermain dengan permainan interaktif.  Tetapi ada syarat, yang siap dulu dan betul semua sahaja berpeluang.  Yang lain nganga jelah,hu3. Siapa suh tak siap kerja kan...

Terdapat murid yang dilihat menunjukkan peningkatan. Alhamdulillah, walaupun cuti lama namun ada perubahan. Itu yang saya doakan setiap hari.  Mungkin sudah tiba masanya otak menjadi matang.  Biasanya begitu, di Tahun 3 baru boleh lihat perkembangan mereka.  Alhamdulillah,Allah terangkan hati anak-anak ini...
tenteng ni saya buat sebab dorang suka sgt melompat-lompat
ha,tak aci kaki dh turun sebelah tu..

Di sebalik cerita yang berkembang dari segi pelajaran dan badan(seorang anak murid saya obesiti,hu3),
ada juga cerita yang menguncup.
Seorang murid saya telah membuat saya menjadi hulk hogan minggu ini. Nasib baik kulit tak bertukar hijau.  Karenahnya sangat mencabar saya.  Semakin hari sabar saya semakin tipis. 

HARI ISNIN
“F, kenapa kamu tak siap kerja cikgu ni, susah sangat ke?”
 F tunduk, “Saya lupa...”
“Tapi ini kerja minggu lepas.  Cikgu nak kamu siapkan sekarang,”
Suara saya agak mendatar sebab hari Isnin kan, malas nak layan mood marah.

HARI SELASA
“Siapa tak siap kerja rumah semalam, mengaku je, cikgu tak nak buang masa marah-marah.”
Dan seperti saya jangka, orang yang sama juga tak siap. 

HARI RABU
“Semalam cikgu bagi kerja rumah kan. Sekarang semua buka buku,cikgu nak tengok.”
Ada seorang saja yang tak buka.  Dalam 8 orang murid dia sahaja yang tak bergerak. Saya ulang arahan. 
F, kamu tak siap lagi ke?”Saya cuba tahan marah. Murid ini perlu diajar.
“Tolong ambil pembaris tu, siapa tak siap kerja, mesti kena hukum.”
Dia tunduk dan hulur tangan.
Sebelum F keluar, saya tahan. 
“Cikgu rotan sebab apa?”
“Saya tak siap kerja,” Dia jawab perlahan
“Jadi awak mengaku memang salah awakkan, itu sebab cikgu rotan. Betul tak salah awak?” ( Saya rasionalkan semula apa yg saya buat td)
“Betul,” Saya capai dua bukunya  (BM dan MATH).
“Esok cikgu nak dua-dua kerja kena siap. Petang ni siapkan dulu baru keluar main,”
 Dia angguk.
“Janji dengan cikgu,”
“Janji,”  Dia jawab sungguh-sungguh.

HARI KHAMIS
“Ok,siapa yang ada kerja rumah semalam, bagi buku kat cikgu,”
Yang lain sibuk nak tunjukkan hasil kerja mereka.  Kebetulan ada aktiviti mewarna semalam. Seronok sangat sampai tak sempat siap dan saya suruh bawa balik. Tapi...
“ F,mana buku kamu?”
Dia hulur. Lambat. Saya dapat kesan sesuatu. Tak siap!
“Tak siap lagi!( Suara dah ke dalam sebab tahan marah). Meh sini buku Math pula.Pun tak siap!Apa nak jadi ni F !!! Kalau orang lain boleh siap kenapa kamu tak boleh siap! Semalam janji apa dengan cikgu?”
Suara saya bagai halilintar. 

Senyap.

Kau berdiri kat luar (kata ganti nama dah bertukar). Cikgu tak nak tengok muka kau hari ini. Siapkan sekarang!!”

Kebetulan hari ini mereka ada 5 waktu dengan saya (bercampur waktu BM dan MATH).  Jadi ada 2 jam setengah dia masa dia ada utk siapkan kerja.

Bila loceng rehat berbunyi, saya lihat dia menangis mengongoi di luar.  Bukan sebab menyesal,tapi sebab tak dapat makan katanya. Bertambah bengkak hati saya. Saya membebel panjang. Tak tahan, saya tinggalkan dia. Saya pesan pada kawannya suruh ajak F ke kantin.

Sebenarnya, bila keadaan seperti ini berlaku, saya jadi benci dengan diri. Sebabnya saya tak boleh tahan marah.  Kasihan anak-anak yang lain. Disebabkan mood yang marah, P&P hari ini tidak berapa menarik. Hancur segala plan dlm lesson note tu.

Dalam keadaan itu, saya ke bilik guru. Mencari orang yang dapat mengimbangkan emosi, saya terus mengadap Ustazah R.Dalam lembut, dia keluarkan kata-kata ini..
“Sharfizah... orang muda memang cepat marah, cepat terasa.  Akak pun macam tu dulu, Pantang salah sikit, budak mesti kena. Tapi yang penting niat kita, niat untuk betulkan kesalahan dia supaya dia tak ulang salah yang sama.  Banyak – banyak sabar. Bila marah, setan merasuk yang macam-macam.  Jangan letak marah depan akal kau.  Nanti yang datang emosi, bukan rasional.  Kita nak didik dia, buatlah dengan cara berhemah

Berhemah?  Saya fikir 1000x. Betul. Tak sepatutnya saya halau F tadi. Dia juga ada maruah.

Sepanjang hari saya terbawa-bawa kata-kata Ustazah R tadi. Sengaja saya ke POPULAR dengan niat cari buku yang dpt relax kan saya dan menghiburkan hati.Dalam mencari, mata saya terhenti pada tajuk buku yang agak kena dengan situasi saya. Tajuknya
Hebatnya Cara Rasullullah Mendidik” tulisan Razali Saaran. Mungkin buku ini ada sesuatu. Saya terus capai dan bayar. Balik saya belek dengan pegun.

Antara intipatinya..

“Benar, guru perlu banyak bersabar ketika mengajar kerana ia akan meningkatkan martabat guru di mata murid.  Tiada yang lebih bermakna bagi diri seorang guru yang sentiasa sabar dengan karenah muridnya melainkan akan diangkat martabat dirinya di sisi Allah dan Rasul-NYA,”

Ten... ten... ten...  Kata kuncinya SABAR.
Saya insaf kini.  Saya rasa saya tahu apa nak buat esok untuk anak-anak murid saya.

HARI JUMAAT
“Siapa tak datang hari ini?”
“F cikgu,”
Diam seketika.  Kelas hari ini saya teruskan seperti yang dirancang semalam.

emi,9 tahun, 75kg...ada berani?


Saturday, January 8, 2011

berubahlah wahai diri..

salam...
SANGAT SIBUK. Dua perkataan ni shj yg boleh saya rumuskan utk kehidupan saya minggu ini. Banyak kerja hingga seakan-akan tidak cukup 24 jam sehari..


2 hari sebelum sekolah dibuka.Bertugas agihkan buku teks.

 
Sibuk betuk mereka ni. 

Umum mengetahui minggu ini bermulalah sesi persekolahan 2011.  Bukan murid-murid dan parents shj yg sibuk, guru-guru juga sibuk membuat persiapan sebelum sekolah dibuka.  Termasuklah saya, ditambah dengan pelbagai jawatan tahun ni(rasa mcm dhsenget je bahu saya ni), jadi saya kuatkan semangat walaupun semangat tak datang2 sehingga waktu kecederaan(pagi Isnin). KERJA!KERJA!KERJA!.

Permulaan tahun ini dibuka dengan tugasan saya sebagai guru bertugas.Waduh,biar benar nih..Momentum terus turun. 'Hantar murid sakit, sapu ubat luka mana yg degil2 berlari sampai jatuh berdarah, incharge perhimpunan setiap pagi,atau tulis report bertugas'. Tugas-tugas ni semua saya tak kisah langsung nakbuat.Tapi ada satu yg paling sy tak gemar. Apa dia? Ya betul,jaga pagar!!Menjadi patung &berdiri tegak di tepi pagar sekolah mmg sangat menyampah. Sebab apa?

1)  Saya mengalami allergy, kenderaan masuk dan keluar membawa sekali asap sampai boleh jd bedak simplysiti kt muka.  Hasilnya saya selesema teruk.
2) Guard sekolah (makcik) yg tak berapa pandai lintaskan budak sangat menakutkan.  Mingguni shj 2kali dia
hampir dillanggar kereta disebabkan berdiri di tengah2 jalan. Sy nak cadangkan pd  GB suruh dia masuk
kelas Tahun 1 time subjek PKJR (Pend. Keselamatan Jalan Raya).Masalahnya dia tak nak pakai uniform putih masa nak lintaskan murid.  Bila ditanya kenapa tak pakai. "Malu,"jawabnya.  Saya balas balik "Bukan semua dapat chance pakai uniform tu.Akak kira bertuah tau." Dia sengih panjang. Oklah kan, ala-ala doktor
tu, hu3.
Apa pun saya cuba lakukan yg terbaik mingguni.  Dengan murid Pra Sek yang berguling-guling menangis depan kelas, dan yg paling dashyat, makhluk Allah yg paling digeruni oleh cikgu-cikgu telah dtg memantau seawal hari pertama sekolah. Sengaja saya menegur NAZIR SEKOLAH yg datang tu,kira berbahasalah dan dengan harapan dia tak observe saya, hu3.Alhamdulillah,dia tak masuk kelas saya.

Tahun baru pasti ceritanya berbeza...
Murid pemulihan saya bertambah dan akhirnya berkurang setelah 2 orang berpindah sekolah.  Namun yg baru ni sedikit masalah krn dia anak kepada seorang staff sekolah .  Anaknya memang lemah, namun ibunya terlalu berharap agar saya dapat pulihkan anaknya.Saya respon "Kak, saya hanya cuba tolong  mana yg mampu. Saya bukan Tuhan.Yang penting akak sendiri kena tolong anak akak &doakan dia". Yg ini mmg jd pengajaran berguna. Esok-esok kalau dah kawin & punya anak sendiri, eloklah kita pantau dan didik mereka betul-betul. Kerja mendidik bukan bermula di sekolah tp dari rumah...

Ada satu lg pengajaran yg saya dapat minggu ni. Kebiasaan saya akan parkir kereta yang kebetulan berhadapan dengan rumah seorang anak murid saya.  Murid ni saya akan tumpangkan menaiki kereta kalau hari hujan. Tapi sikap maknya yang tak pernah membalas bila saya tegur kadang-kadang menimbulkan rasa tak puas hati dlm diri. Saya selalu mengomel dalam hati bila berdepan dengan mak murid ini yg seakan-akan buat -buat tak nampak bila saya hampiri kereta.  Dengan tuala yang diletakkan di bahagian kiri bahu, dia akan cepat-cepat memusing badan dan masuk ke dalam rumah.
Namun hari itu Allah nak tunjukkan sesuatu.  Kerana bertugas,saya keluar awal.Saya turun ke parkir kereta jam 6.45pg. Saya lihat anak murid itu dh bersedia dengan basikalnya.  Saya senyum dan seperti dijangka maknya akan pusing badan.  Ditakdirkan tuala yg biasa ada di bahunya itu tiba-tiba jatuh. Dan...
Saya sangat terkejut.Dia cepat-cepat tarik tuala itu dan masuk.  Masya Allah .baru saya tahu kenapa, baru saya sedar.  Jahatnya saya ni selalu kutuk-kutuk mak budak ni dalam hati. Di separuh jalan saya nampak murid saya sedang berbasikal bersama kawan-kawannya sambil ketawa riang. Sepanjang jalan saya berfikir. Menyesal..Hari itu ketika jaga pagar,asap kereta semacam bayu lembut yang lalu menyapu pipi.. 
Saya diajar untuk faham dengan tindakan mak murid itu.  Saya diajar tanpa sepatah kata darinya.  Saya diajar dengan hanya melihat tangan kudungnya...
Nampaknya, saya belum lagi berubah, berubah untuk lebih memahami orang lain...Terima kasih Allah kerana ajarkan saya..