Tuesday, December 28, 2010

Pelangi, kami ingin ke sana...

Kali ini saya kongsikan satu cerpen. Cerita yg punya cerita sendiri. Cerita tentang anak tsunami. Cerita yg dekat dengan mimpi saya dulu.. Cerita yg mengingatkan saya tentang anak-anak pesantren yg kenal erti hidup dan redha pada takdir Tuhan...Semoga bermanfaat..

 

~   sempena ultah tragedi tsunami 26 Disember 2004-2010    ~


Oleh ARIFF MOHAMAD

SELURUH kesunyian ini rupa-rupanya untuk kami. Entah bila dapat ditebat. Kusut pada mata zahir entah bila terungkai. Pedih dan perit bagai rantaian yang payah sekali untuk dilepas. Hinggakan air mata kami telah kering, sekering darah telah meresap ke dalam bumi ini.
Selepas desaku berubah menjadi padang, aku rasakan kesepian dalam hati teramat. Manusia-manusia yang dulunya aku anggap keluarga kandung, tidak pasti di mana jenazahnya apatah lagi batu nisannya. Mesra dan usikan jiran-jiran yang sering bertanya mahu ke mana kini menjadi ratapan yang melatari siang dan malam.
Ketawa teman-teman sekolahan kini hanya kenang-kenangan yang tidak akan dapat diputar dalam kenyataan. Aku hanya mampu bermain dengan mimpi. Mimpi kosong dalam hakikat cuma berisi dalam harapan yang entah, nanti tinggal harapan semata atau akan dapat dikecap sinar nyatanya.
Aku amat menyenangi angin. Di tepi laut aku pernah menyatakan pada ombak, bahawa aku harus berani menghadapi masa depanku. Aku perlu menjadi anak yang kuat. Aku nyatakan kepada ombak bahawa aku bercita-cita ingin berjasa kepada desa ini. Aku ingin menjadi seorang guru kecil yang dapat menumpahkan pengetahuan dan pengalamanku yang sedikit ini kepada anak-anak desaku. Aku ingin membesarkan pondok ilmu di desaku dengan gemburan semangatku.
Aku berlari-lari di sepanjang pantai. Sesekali kujejaki dasar terdekat mengharung laut hingga ke paras dadaku. Ketika ombak petang memukul, aku seolah-olah bersedia menghadapinya. Ketika berdiri di pantai, aku gembira sekali melihat ombak yang datang lalu menyentuh kakiku.
Belum sempat aku tunaikan kata-kataku dengan sepuas hati, ombak itu juga yang memusnahkan. Oh, sungguh. Sungguh, ini ketakjuban Yang Maha Kuasa. Aku merasakan aku tewas, lemah. Qadak dan qadar Allah telah pun dinyatakan dalam rukun iman.
Aku antara yang bernasib baik dapat terus melihat matahari dan bulan. Syukur, aku masih hidup dengan sihat. Aku masih boleh bernafas dalam kehancuran ini. Ya, aku berasa amat lemah, dan aku sungguh tidak dapat untuk bergembira kerana aku masih hidup. Sedangkan semua yang aku cintai telah tiada. Hanyut dibawa ombak, hilang diajari bencana, pergi dari dunia ini dengan sekelip mata. Pernah aku tertanya sendiri, mengapa aku tidak bersama-sama mereka terkorban dalam tragedi ini?
Sesungguhnya percayalah, aku tidak mampu tersenyum sehingga kini.
Kayu yang berserpihan kami pilih yang kuat untuk dijadikan tiang. Tanpa dinding kami bentangkan tikar anyaman sebagai alas kayu-kayu yang tidak sempurna saiz. Kami dapatkan kain kanvas nipis sebagai bumbung. Terbinalah khemah yang kami namakan Pondok Ilmu.
Berhampiran tapak sekolah kami yang rosak, kami bangunkan kembali pusat ilmu ini. Terlalu daif. Memang, terlalu. Namun inilah yang dapat kami bangunkan dari runtuhan. Fizikalnya memang seperti kami, lemah dan tidak sempurna, namun yang lebih penting adalah kekuatan kami untuk membinanya, meneruskan cita-cita kami.
``Sementara sahaja. Sementara sekolah kita dipulihkan.'' Kataku kepada anak-anak yang bertanya.
``Pondok ilmu mesti dibina kembali. Malah semarakkanlah. Ingat, selain agama, apa yang perlu kita ada? Hanya ilmu. Maka, dengan pondok ini kita kukuhkan diri kita dengan ilmu. Setakat yang terdaya. Sekadar termampu dengan keupayaan kita.''
Itulah kata-kata Bapak Sano. Penuh keinsafan. Dengan semangat. Beriring harap.
" Defi.''
Bapak Sano merenungku legat. Kulihat gurisan dahinya membuktikan derita batinnya. Kulihat matanya, berisi doa. Kurenung bibirnya, pucat, saksi kekurangan vitamin.
   "Bapak harap kamu ajari anak-anak di sini. Dengan ilmu duniamu. Dan ilmu akhiratmu. Seiringkanlah.''
Begitu kata Bapak Sano. Aku mengangguk-angguk. Memang begitulah niatku. Malah sebelum bencana ini, aku memang bercita-cita sebegitu.
 " Defi.''
Kehilangan
Panggilnya lagi. Kulihat matanya berair. Serentak itu diriku terserap sama kepiluan. Hiba bernada pilu dalam diri. Sebak dadaku, dan ah, aku juga menangis sepertimu, bapak. Dan lihatlah, air mataku lebih banyak.
``Defi. Kita cari kembali diri kita dari kehancuran ini. Bapak tidak dapat turut serta bersama-sama kamu. Bapak semakin tidak berdaya. Bapak mahu pulang. Bapak mahu.''
Ya, memang wajar aku menangis. Aku kuatkan hati untuk mengawal air mataku. Bukankah aku telah terlalu banyak menangis. Seharusnya hari ini, bermula hari ini, aku perlu menitiskan air mata pada saat-saat yang perlu sahaja. Aku mahu tunjukkan kekuatan diriku kepada anak-anak kecil yang mengangakan ilmu di pondok ini.
Bapak Sano merapatiku. Tubuhnya kelihatan lemah. Berpaut pada kerusi, terbongkok melangkah.
``Lihat anak-anak itu. Mereka tidak mengerti apa yang terjadi. Jika ada yang memahami pun, pengertian mereka tidak sebanyak pengertian kita. Mereka perlu menempuh hari depan dengan keyakinan. Mereka perlu bekal untuk menghadapi siang dan malam. Mereka perlu diajari mengapa dan bagaimana.''
Aku mengitari pandang anak-anak di bawah kanvas pondok. Kulihat mereka sesekali riang, sesekali murung, sesekali ketawa, dan menangis. Oh, air mata, janganlah mengalir lagi.
``Manusia seperti kamulah, Defi. Harapan yang tua untuk penerus.''
Aku teringatkan guruku, Suhani. Dia guruku yang terbaik. Dialah pembakar semangatku selama ini. Dialah yang menarik tanganku, mengajarku tulis baca. Tapi sayang, cuma senyuman dan nasihatnya kuterbayang. Dia telah pulang. Pulang dibawa ombak. Hilang bersama cita-cita dan kekuatannya.
Seorang anak kecil bernama Marlina menghampiriku. Tidak berkasut. Aku bertanya mengapa.
``Sudah hilang.''
Jawapannya mudah tapi berat. Selebihnya aku mendalami kehilangannya. Dia bukan sahaja kehilangan selipar malahan dia hanya ada dirinya sahaja. Ibu dan ayahnya telah dikuburkan. Saudara-saudaranya juga. Rumahnya ranap. Buku-buku dan baju-bajunya turut ke bumi. Oh, kuatkan diriku, ya Allah.
Aku memulakan hari-hari keyakinanku untuk mengajar anak-anak ini ilmu tulis baca hinggalah yang remaja sedikit kuajari ilmu alam, Matematik, Sejarah dan bahasa. Aku bersama-sama tiga orang muda yang lain berada di situ dari pagi hingga ke petang. Dan sesungguhnya di situlah kami mengisi malam dengan kesabaran dan keazaman. Kulihat langit berbintang cantik, terasa cukup kontras dengan bumi tempatku yang berpijak ini. Langit indah terbentang, kekal tidak pernah berubah. Sedangkan desaku, hancur musnah. Oh, Tuhan.
Malam dilatari bunyi bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Kesayuan mengusik naluri. Selesai maghrib aku tatapi, tekuni dan dalami satu demi satu surah. Kulakukan setiap malam dengan suara serakku dan sesekali air mata menitis. Hatiku cepat-cepat menghantar ingatan. Perlu kuat. Perlu kuat.
Suatu malam, aku didatangi Marlina.
``Saya lapar,'' katanya.
Kupeluk dia erat-erat. Dapat kurasakan jantungnya berdegup hampir dengan jantungku. Entah mengapa aku merasakan dia berada dalam diriku. Aku akan berkongsi kepedihan bersama-sama dengannya. Aku mahu menghadapi hari ini, esok dan mendatang dengannya. Aku berandaian, jika boleh jiwa kami disatukan, aku sanggup berkongsi jantung dengannya.
Aku bawa dia ke dapur. Biskut kering sekeping dua masih ada. Roti separuh plastik masih terbuka. Kubancuhi susu. Kusuapi dia walaupun kulihat dia agak kekok dan malu-malu. Aku dapat merasakan kemanjaan yang sepatutnya diserahkan kepada ayah dan ibunya telah tumpah kepadaku.
Sepanjang malam, Marlina tidur memelukku. Terjaga pertengahan malam, dipanggilnya aku.
``Kak Defi.''
Aku memeluknya kembali.
Terjaga menjelang subuh dipeluknya aku semakin erat.             
``Kak, saya rindukan mama, ayah.''
Kupujuki dia. ``Tidur, Mar, esok ke sekolah.''
``Kenapa tidak sekolah sekarang?''
``Solat subuh dulu, ya.''
Kepala Marlina diletakkan di atas lenganku. Oh, Tuhan. Air matanya sedingin daun-daun basah dinihari.
Marlina, kau akan bersamaku. Begitu kata hatiku.
Pondok Ilmu diperindah sedikit dengan kerjasama orang-orang sekeliling. Mereka memberi sokongan tenaga dan perhatian selain doa berterusan agar anak-anak di sini dapat menikmati dunia dengan lebih yakin, berisi ilmu.
Suatu petang, aku membawa Marlina bersiar-siar di sekitar desa. Kehidupan mesti diteruskan. Itulah yang kulihat dan rasakan ada pada orang-orang desaku. Perniagaan kembali berjalan walaupun amat perlahan. Nelayan telah ke laut sehari dua ini walaupun pulangnya kecewa. Petani mula mencangkul tanah walaupun kudrat terasa lemah. Urusan diteruskan walaupun banyak halangan. Bantuan makanan, pakaian dan perubatan daripada sukarelawan masih ada walaupun sudah banyak yang pulang.
Tekadku untuk membangunkan desa dari segi keilmuan pada anak-anak di situ terasa semakin kuat. Walaupun kutahu perjuangan ini amat payah, namun itulah baktiku kepada bumiku, kepada agamaku. Siapa lagi yang diharapkan di sini, jika bukan anak peribumi seperti aku, Dinda dan Faruqi. Ya, Allah, berilah kami kekuatan.
Hadiah
Aku singgah di rumah Pak Sano. Dia kelihatan terlalu uzur. Pak Sano menyandar di kerusinya. Sehelai sejadah tidak jauh dari tempat duduknya. Kusalami dia diikuti Marlina. Diciumi Marlina lalu digenggam erat tangan anak kecil itu.
Aku berasa amat sebak ketika Pak Sano menghadiahi Marlina sepasang kasut berwarna merah. Bahagian depan kasut itu dihiasi bunga-bunga berwarna kuning dan biru. Kata Pak Sano, ``Sepatu ini saya jumpai di tepi masjid. Aku tidak temui pemiliknya walaupun telah lama kugantungkan di hadapan rumahku. Ambillah, Marlina.''
Pak Sano menyambung, ``Anggaplah ini hadiah saya untuk anak kecil tanda harapan dan kasih sayang.''
Pak Sano kemudian bertanyakan tentang Pondok Ilmu. Wajahnya penuh syukur. Aku ceritakan lagi dan lagi. Hingga dia seperti keletihan. Aku meminta izin untuk pulang. Pak Sano mengangguk namun matanya seperti berat melepaskan.
Aku mengajak Marlina ke tepi laut. Angin kasar dan lembut berganti-ganti. Fikirku, jika ombak datang lagi, oh Tuhan, ambillah nyawaku. Namun selamatkan Marlina. Jika aku pergi Marlina kurasakan akan menjadi aku suatu hari nanti.
``Kak Defi, ombak datang!''
Suasana sunyi. Benar-benar sunyi.
Kulihat pelangi, cantiknya. Kukatakan pada pelangi, aku ingin ke sana. Aku rindukan sinar. Aku rindukan keindahan. Dan kebahagiaan. Itu doaku. Doa kami.
Aku memejamkan mataku. Marlina menghampiriku. Menunjukkan kasut merahnya. Aku dan Marlina berlari-lari, kemudian menuju pelangi. Dan kami rasakan seperti menari-nari di atas pelangi.

-untuk anak-anak pesantren yg aku kenali dulu, smg Allah memberkati kalian, semoga kalian tetap kalian yg dulu,yg bandel,yg riang dan menyenangkan walau dlm suram...

3 comments:

  1. inul,hepi belated birthdy!!trgt anak2 dan kg angkat kita!!

    ReplyDelete
  2. aku pon ada buku ni...
    tapi ank2 smua'a udh gaul
    udh jd artis band
    dah tak sanggup lg aku lihat kak (gaya cakap mcm hendri)..hehe

    ReplyDelete
  3. hu3,npk'a xdptlah kita tgok ulama yg dtg dari ponpes bm

    ReplyDelete